Kembara untuk Perkongsian

Selagi Masih Di Perjalanan

Showing posts with label bani israel. Show all posts
Showing posts with label bani israel. Show all posts

Saturday, October 27, 2012

Israiliyat

Israiliyat
Pernahkah kita mendengar tentang kisah Israiliyat ? Tahukah apa yang dikatakan israiliyat ? Pasti soalan ini agak sukar untuk dijawab. Masakan tidak, istilah sangat janggal didengar dan digunakan terutama bagi masyarakat Malaysia.
Mungkin yang pertama kali mendengar atau mengatakan , ia kisah atau riwayat yang berkisar tentang bangsa atau bani Israel. Signifikannya kerana sebutan perkataan itu seakan merujuk kepada Israel yang hanya ditambah dengan perkataan `liat`.
Sedar atau tidak, sebenarnya cerita-cerita yang terkandung dalam kisah Israiliyat ini telah lama berdendang dalam minda  masyarakat,sedari kita di usia kanak-kanak lagi . Cerita-cerita ini biasanya disampaikan melalui mulut ke mulut atau melalui paparan visual di sekolah-sekolah rendah. Dan kini cerita-cerita tersebut telah banyak pula dibukukan serta boleh didapati dengan mudah di pasaran.
Kebanyakan cerita yang ditulis ini, mempunyai perincian dari pelbagai sudut, sama ada nama individu , tempat , masa dan lain-lain. Persoalannya, bagaimana sebahagian besar maklumat ini diketahui ketepatannya,sedangkan ia telah berlaku lama dahulu. Telah beribu tahun berlalu sebelum wujudnya system penulisan atau pendokumentasian peristiwa.
Hal ini kerana kebanyakan kisah-kisah Israiliyat yang tersebar di pasaran, tidak diketahui sumbernya yang sahih. Bahkan lebih teruk dari itu, terdapat kisah yang dipaparkan ini, bertentangan dengan Al-Quran dan sunnah Baginda S.A.W. Contohnya dalam kisah pemindahan istana puteri Saba` ke sebelah Istana nabi Sulaiman A.S.
Pada asalnya, kisah-kisah Israiliyat ini hanya tertumpu pada kisah-kisah yang diambil daripada Bani Israel, merangkumi kisah umat terdahulu, kisah para nabi dan rasul serta kisah-kisah berkaitan awal kejadian dan penciptaan. Kemudian ia telah diperluaskan konteks pembahasannya oleh para ulama,pada unsur-unsur yang tidak mempunyai dalil yang sahih, yang terserap dalam sesbuah tafsiran kisah dalam al-Quran.
Diminta untuk menjelaskan apakah yang dikatakan kisah Israiliyat , menurut Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumnai Kolej Universiti Shahputra, Asmadi Abdul Rahman menyatakan istilah Israiliyat dinisbahkan kepada Bani Israel. Maka Bani Israel atau keturunan Israel  ialah keturunan nabi Yaakub A.S  yang berkembang hingga kepada nabi Musa A.S dan seterusnya nabi-nabi yang dating silih berganti, sehinggalah keturunannya yang terakhir iaitu Nabi Isa A.S.
Adapun keturunan Nabi Yaakub A.S atau Bani Israel sejak beberapa zaman yang lalu, dikenali dengan panggilan Yahudi. Keturunan yang beriman kepada nabi Isa pula dikenali dengan nama Nasara atau Nasrani. Manakala yang beriman dengan nabi Muhammad S.A.W pula dikenali dengan Muslimin ahl- al-kitab.
Dari sudut istilahnya pula, kisah Israiliyat merujuk kepada maklumat, cerita atau riwayat yang diambil dari kisah Bani Israel ( Yahudi dan Nasrani ) merangkumi umat terdahulu, kejadian-kejadian permulaan, bagaimana kisah-kisah kehidupan nabi, pencintaan malaikat dan lain-lain.
Tuntasnya, tujuan kisah Israiliyat berpersanan untuk memperincikan dan menerangkan tentang sesuatu kisah, yang diceritakan secara umum di dalam Al-Quran . Maka dalam membahaskan kisah Israiliyat ini , ia mengandungi tiga bentuk pecahan. Pertama kisah Israiliyat ini boleh dikongsi dan diceritakan kepada masyarakat, tetapi ia mestilah didukung oleh hadis-hadis sahih, atau nas-nas al-Quran yang terbukti kebenarannya.
Kedua, kisah Israiliyat ini haram untuk diceritakan jika ia secara jelas kepalsuaannya melalui keterangan yang ada pada kita, sehingga boleh merosakkan akidah, atau bertentangan dengan maklumat yang kita ketahui seperti cerita yang bercanggah dengan al-Quran atau hadis. Manakala ketiga adalah cerita yang didiamkan iaitu berita yang tidak ada kepastian benar atau salahnya.
TIPS MENGENALPASTI KISAH ISRAILIYAT
1. Melihat kepada rijal hadis atau perawi hadis. Sebelum sesuatu kisah itu dijadikan hujah, lihat siapa yang meriwayatkan hadis atau kisah tersebut.Dalam karangan az-Zahabii, beliau menyenaraikan nama-nama perawi yang jelas berkait rapat dengan Israiliyat , sama ada mereka ini boleh diterima riwayatnya atau tidak.
2. Lihat kandungan kisah tersebut, sama ada ia bertentangan dengan al-Quran atau as-Sunnah.
3. Kisah tersebut disepakati oleh ulama terdahulu dan sekarang. Antara ulama yang boleh dirujuk karangannya berkaitan Israiliyat ialan dari Dr. Solah al-Khalidi, ulama tafsir dan Dr Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah.
4. Tidak bertentangan dengan logic akal contohnya dalam kisah nabi Sulaiman a.s dan semut. Ada yang mengatakan semut itu sebesar serigala kerana itu nabi Sulaiman dapat mendengar suara semut. Tetapi secara logiknya, jika ia sebesar serigala mana mungkin nabi Sulaiman dan para tentera dapat memijaknya.

Kesimpulan : Propaganda musuh Islam
Golongan yang ingin menjahanamkan Islam dengan sikap munafik inilah yang akan mereka-reka kisah-kisah dan menokok tambah secara berlebihan supaya dapat memburukkan para nabi atau melebih-lebihkan nabi mereka. Hal ini kerana Baginda S.A.W bukanlah dari kalangan bani Israel tetapi Arab Quraisy.
Mereka juga mengada-adakan kisah-kisah yang boleh menghina dan memperlekeh Baginda S.A.W dan melebih-lebihkan nabi dari golongan mereka sendiri. Antaranya , nabi Sulaiman dikatakan menguasai seluruh dunia dan semua makhluk tunduk kepadanya. Sedangkan jika semua makhluk tunduk kepadanya, masakan Baginda S.A.W tidak mengetahui tentang kewujudan kerajaan yang diperintah oleh Puteri Saba` yang tidak menyembah Allah tetapi menyembah matahari.
Sebagai masyarakat Islam hendaklah kita tegas dalam menangani permasalahan ini supaya umat Islam tidak berterusan tertipu dengan agenda-agenda musuh Islam yang nyata ingin melihat umat Islam hancur dan terpesong akidahnya. Seharusnya sebarang bentuk penulisan yang ingin diterbitkan perlu ada tapisan dan penilaian daripada cendiakawan agama atau mereka yang pakar, agar maklumat yang ingin disampaikan kepada masyarakat menepati kehendak syarak. Jika tidak jelas sumber dan kesahihan maklumat tersebut, janganlah dikeluarkan sama sekali bagi mengelakkan masyarakat terpedaya dengan maklumat yang salah.

Sumber : Majalah Al-Islam Keluaran November 2012