Pendidikan Komputer
di Malaysia
Mengikut
perkembangan komputer tempatan, kita dapat merasakan ledakannya yang drastik.
Komputer kini telah menjadi sebahagian daripada keperluan dan mempengaruhi
kehidupan seharian kita. Sebenarnya, komputer telah diperkenalkan kepada masyarakat
dunia sejak beberapa abad lalu. Di negara kita, komputer mula digunakan pada
tahun 1965 apabila Lembaga Letrik Negara menggunakan komputer untuk memproses
gaji kakitangan dan juga akaun syarikat. Tetapi ia tidak disambut baik pada
ketika itu kerana kos komputer yang tinggi dan kekurangan tenaga mahir dan
berpengalaman dalam bidang komputer.
Kini, atas
kesedaran masyarakat tentang kepentingan komputer terhadap pembangunan negara,
kita dapat melihat perubahan positif yang agak ketara. Komputer digunakan oleh
masyarakat mengikut keperluan masing-masing, bukan sahaja digunakan oleh agensi
kerajaan dan swasta tetapi juga orang awam. Malah Malaysia sekarang muncul
sebagai pengguna komputer keempat terbesar di Asia.
Penggunaan
komputer dalam sistem persekolahan di Malaysia bermula secara informal tanpa
sokongan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia. Penggunaan komputer di
sekolah-sekolah swasta bermula sejak 1980an bila kursus komputer diperkenalkan.
Sekolah swasta mula memperkenalkan kelab komputer di dalam aktiviti
ko-kurikulum mereka. (Shahdan,1993). Pada tahun 1981, Sekolah Menengah La
Selle, Petaling Jaya merupakan sekolah pertama yang menubuhkan kelab komputer
dan memperkenalkan pengajaran Literasi Komputer kepada pelajar yang menjadi
ahli kelab. Penubuhan kelab-kelab komputer dalam tahun 1980 an merupakan detik
permulaan pendidikan komputer di Malaysia. Jumlah kelab ini meningkat sehingga
800 buah iaitu hampir separuh daripada bilangan sekolah menengah pada tahun
1990. Pada waktu tersebut kebanyakan kelab komputer di sekolah-sekolah disokong
dan dibiayai oleh persatuan ibu bapa dan guru-guru, (Zoraini, 1998). Melalui
kajian oleh Shahul Hamid (1989) didapati kebanyakan kelab komputer di
sekolah-sekolah tidak begitu aktif kerana 80.3 % kelab komputer menjalankan
aktiviti sekali seminggu dan 19.7 % menjalankan aktiviti dua minggu sekali.
Semua kegiatan kelab komputer dijalankan diluar waktu persekolahan kerana ia
dianggap sebagai sebahagian daripada aktiviti ko-kurikulum.
Minat terhadap
komputer merosot di kalangan ahli-ahli kelab komputer selepas beberapa ketika
kerana mereka diajar tentang bahasa pengaturcaraan iaitu BASIC. Collis (1987),
berpendapat bahawa pengaturcaraan kurang relevan dengan keperluan-keperluan
yang berkaitan dengan ko-kurikulum atau perkembangan kemahiran menyelesaikan
masalah. Selain daripada bahasa pengaturcaraan, faktor-faktor lain yang
menyebabkan kurangnya minat di kalangan pelajar ialah yuran bulanan yang tidak
setimpal dengan faedah yang diperolehi, kemahiran yang diterima tidak relevan
dengan keperluan pelajar, kekurangan guru yang berkemahiran dan tempoh masa
pelajar-pelajar dibenarkan menggunakan komputer adalah terhad.
Pengenalan
komputer ke sekolah-sekolah secara formal bermula dengan Projek Rintis Literasi
Komputer ( Computer Literacy Pilot Project- LPP) pada bulan April 1986. Sebanyak
20 sekolah di Semenanjung, Sabah dan Sarawak menerima 5 set komputer peribadi,
satu pencetak dan perisian-perisian aplikasi. Pendidikan komputer diperkenalkan
kepada pelajar-pelajar melalui kursus-kursus ' Pengenalan Kepada Komputer '
(Zoraini, 1991). Selepas setahun projek ini terpaksa dihentikan kerana kurang
peruntukan dan sukatan pelajarannya bertindih-tindih dengan aktiviti-aktiviti
kelab komputer yang ada di sekolah.
Penggunaan Bahan
Multimedia (komputer dan internet) dalam Sistem Pendidikan
Walaupun penggunaan komputer
kini meluas ke pelbagai bidang dan sektor
masyarakat
seperti perindustrian, penyelidikan, perdagangan, hiburan, pengangkutan,
komunikasi dan sektor awam namun tumpuan perlu diberikan kepada bidang
pendidikan. Ini adalah kerana teknologi komputer merupakan realiti masa kini
dan ia akan menjadi arah yang dominan pada masa akan datang (Karger, 1987).
Perkembangan ini jelas dalam kehidupan seharian kita dimana semakin banyak
kegiatan rutin melibatkan komputer.
Secara
amnya, terdapat tiga sebab utama komputer digunakan dalam pendidikan iaitu
(Media Comic, 1992) :
a. Perkembangan
teknologi baru telah menawarkan satu teknologi maklumat yang berkuasa,
bersepadu serta berfungsi kerana kaedah ini memudahkan penyimpanan dan
penyampaian maklumat kepada para pendidik dan pelajar.
b. Komputer berperanan
sebagai alat berkaitan dengan maklumat dan pengetahuan.
c. Para pendidik dan
pelajar memerlukan maklumat dan pengetahuan sebagai kunci kejayaan.
Mengikut pendapat
Taylor (1980), peranan komputer dalam alat pendidikan terbahagi kepada tiga
iaitu tutor, tool dan tutee. Sebagai tutor, komputer berperanan sebagai
pengajar melalui pendekatan pengajaran berbantukan komputer. Sebagai tool,
komputer menjadi alat untuk memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran
seperti konteks pengajaran berintegrasikan komputer. Sebagai tutee pula,
komputer berperanan sebagai alat yang diajar.
Bersesuaian dengan
pendapat Taylor, Nuruddin Namin (1978) dalam kajiannya mengenai ' The
Development of Educational Media Service in Malaysia 1957, 1972' , mendapati
bahawa media bukan lagi di anggap sebagai alat dan bahan bantuan mengajar
tetapi harus menjadi komponen terpenting dalam kurikulum dan pengajaran dan
pembelajaran. Atas dasar inilah masyarakat mendesak agar anak-anak mereka
dilibatkan secara langsung dengan teknologi ini. Menurut Lockheed (1985)
warganegara yang kurang terdedah kepada komputer akan menghadapi tiga
kekurangan iaitu :
a. Tertinggal di dalam
masyarakat yang semakin maju.
b. Kurang
kemahiran-kemahiran kognitif yang melibatkan komputer.
c. Kurang sedar
bagaimana komputer mempengaruhi masyarakat.
Sebuah artikel
dari internet menjelaskan bahawa penggunaan komputer memberi kesan yang besar
dan bermakna terhadap kualiti pembelajaran iaitu (Sejarah dan Perkembangan
Komputer, 1999) :
a. Memudahkan
penghasilan bahan-bahan pengajaran secara lebih efisien.
b. Membenarkan pendidik
menyediakan pendekatan pengajaran yang lebih efektif.
c. Memudahkan penggunaan
pelbagai teknik pengajaran dan pembelajaran seperti multimedia, simulasi dan
aktiviti kumpulan menerusi aplikasi sistem rangkaiannya.
d. Komputer adalah media
ideal untuk pengajaran individu dan pemulihan.
Kehadiran komputer
dalam proses pengajaran dan pembelajaran akan memberi nafas baru terhadap
pendidikan dengan membawa kesegaran baru kepada tugas-tugas pengajaran dan
pembelajaran. Oleh itu, para pendidik yang menggunakan komputer dalam proses
pengajaran dan pembelajaran mereka secara tidak langsung membantu kita
mendefinisikan bentuk pendidikan negara masa depan demi untuk menghadapi
wawasan 2020 negara seperti yang telah ditugaskan oleh Yang Amat Berhormat
Perdana Menteri negara kita.
Projek pengenalan
kepada komputer bermula hasil arahan daripada bekas Perdana Menteri Malaysia,
Dato' Seri Dr. Mahathir Mohammad pada bulan Oktober 1985 supaya Profesor Omar
Abdul Rahman, Penasihat Sains di Jabatan Perdana Menteri menjalankan kajian
terhadap kepentingan komputer dalam pendidikan di Kementerian Pendidikan
Malaysia. Di antara perkara yang telah dikenalpasti dalam kajian tersebut ialah
:
a. Kelab komputer
sekolah perlu memperkenalkan kesedaran komputer (komputer awareness) melalui
kurikulum pendidikan secara formal atau tidak formal.
b. Pengurusan di
institusi-institusi pendidikan hendaklah menggunakan komputer.
c. Pengajian Sains
Komputer perlu dijadikan mata pelajaran elektif pada peringkat sekolah menengah
atas.
Mc Keown (1986),
menyatakan jika seseorang itu celik komputer, dia bukan sahaja hanya
mempelajari tentang komputer tetapi juga tahu menggunakannya sebagai alat yang
memudahkan kerja-kerja lain. Menurut beliau lagi, literasi komputer juga
bermaksud mengetahui perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh komputer
serta kebolehan seseorang itu mengarahkan komputer untuk berbuat sesuatu yang
dikehendaki .
Literasi komputer
perlu bagi setiap individu (Luehrmann 1983). Justeru itu, setiap sekolah di
Malaysia perlu melengkapkan setiap pelajar serta guru-guru dengan kemahiran
ini. Menurut Hunter (1992), seseorang yang tidak literat dalam teknologi dalam
dunia ini merupakan orang yang tidak lengkap pendidikannya.
Lewat 1980-an,
saiz komputer telah menjadi semakin kecil dan harganya semakin menurun. Ramai
dikalangan para guru mula menaruh harapan bahawa suatu masa nanti komputer berpotensimenjadi
satu alat bantu mengajar yang berkesan. Di kalangan pemerhati teknologi pula
beranggapan bahawa suatu hari nanti, tugas para pendidik diambil alih oleh
komputer. Walau apapun anggapan dan harapan yang dipertaruhkan, yang pasti kini
komputer telah dikenalpasti sebagai satu alat yang berpotensi dalam membantu
para pendidik dalam menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran.
Kini, dengan
adanya komputer multimedia, masalah teknologi telah mula dapat diatasi, secara tidak
langsung akan menambahkan minat para pendidik untuk menggunakan komputer di
dalam bilik darjah. Jadi tidak hairanlah jika multimedia hangat diperkatakan
pada masa ini. Ramai dalam bidang pendidikan dan komunikasi multimedia juga
menceritakan perubahan bagaimana cara manusia berfikir, belajar dan memahami
akan sesuatu perkara iaitu bermula daripada penggunaan teks dan grafik sahaja
disusuli dengan kombinasi bunyi dan video sehingga lahirlah teknologi
multimedia sepertimana yang berlaku pada hari ini.
Kemampuan
mengaplikasikan kaedah pengajaran berkomputer dalam pendidikan amat penting
kerana ianya menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih bermakna dan
menyeronokkan kepada pelajar. Kewujudan pelbagai perisian yang bercorak
interaktif dan simulasi akan menjadikan pelajar lebih aktif dan mengambil
bahagian dalam aktiviti yang dilaksanakan. Hal yang sama boleh didapati
daripada hasil penggunaan alat CD-ROM (Compact Disk-Read Only Memory) atau
DVD-ROM (Digital Versatile Disk-Read Only Memory), yang mana kedua-duanya
adalah merupakan sebahagian daripada sistem komputer. Melalui CD-ROM dan
DVD-ROM, guru tidak perlu menyimpan banyak memori di dalam komputer dan
maklumat di dalamnya boleh dicapai pada bila-bila masa. Di antara kesan positif
penggunaan CD-ROM dan DVD-ROM ialah : peningkatan dalam tahap pencapaian
maklumat pelajar, pencapaian pembelajaran yang lebih banyak dan pengajaran dan
pembelajaran akan lebih berkesan dan diminati oleh pelajar.
Penggunaan CD-ROM
dan DVD-ROM akan lebih bermakna jika komputer tersebut dilengkapkan dengan
fungsi CDRW, DVDRW dan DVD/CDRW Combo yang mana melalui peralatan ini akan
membantu pengguna komputer untuk menyimpan apa-apa sahaja bahan atau data dalam
bentuk yang banyak dan selamat. Petikan dari Majalah PC halaman 71, bilangan :
104 Ogos 2005, menyatakan biarpun saiznya yang kecil, satu CD-R (CD-Recordable)
boleh memiliki setoran sebanyak 650 hingga 700 MB (Megabaytes) sementara saru
cakera DVD-R pula mempunyai muatan 4.7 GB atau lebih. Kedua-dua meda CD-R dan
DVD-R kini juga telah dikeluarkan dalam dua format pilihan samada yang boleh
ditulis sekaligus atau yang boleh ditulis berkali-kali.
Selain daripada
kemidahan CD-ROM dan DVD-ROM, komputer yang dilengkapi dengan kemudahan modem
yang berbentuk talian ataupun wireless pula akan memberi kemudahan kepada
penggunanya untuk melayari internet ataupun WWW (World Wide Web) bagi mencapai
mana-mana maklumat yang dikehendaki atau dicari. Internet bermaksud
International Network of Networks. Ia merupakan satu koleksi rangkaian komputer
sedunia yang boleh diakses dan digunakan oleh semua golongan manusia. Rangkaian
sejagat ini menghubungkan berjuta-juta komputer di pelbagai negara di seluruh
dunia, (Yusup dan Saripah, 1999).
Komputer ini yang
terdiri daripada komputer peribadi hinggalah ke komputer kerangkan utama
menggunakan satu set aturan atau piawai pemindahan data yang dikenali sebagai
protokol kawalan transmisi dan protokol internet (TCP/IP) untuk menghantar dan
menerima maklumat. Komunikasi ini berlaku dalam rangkaian TCP/IP melalui get
laluan itu iaitu penghala yang menterjemahkan bahasa komunikasi buku TCP/IP
kepada bahasa komunikasi TCP/IP dan sebaliknya, (Zainuddin, 2001). Rangkaian-rangkaian
ini biasanya disambungkan antara satu
sama lain menggunakan talian telefon, kabel dan satelit. Dengan ini,
pengguna-pengguna komputer dapat bertukar maklumat dengan pantas antara satu
sama lain walaupun berada di sudut dunia yang berlainan (Khan,1997). Internet
telah menjadi satu infrastruktur global yang utama bagi bidang
pendidikan,penyelidikan, pembelajaran, profesional, perkhidmatan awam dan
perniagaan (Fong Hokeong,1987).
Menurut Ismail
Zain (2002), pengajaran berasaskan (Web Base Instruction) adalah merupakan satu
perkembangan baru dalam pendidikan hasil daripada ledakan teknologi maklumat
dan komunikasi. Ia merujuk kepada penggunaan teknologi internet dalam membuat
penyelesaian mengakses maklumat ke arah mempertingkatkan pengetahuan dan
prestasi. Melalui E-pembelajaran ini akan dapat membantu satu senario
pembelajaran lebih efisien daripada pelbagai aspek seperti keluasan penggunaan,
kos efektif, kandungan terkini, perkongsian maklumat, penyebaran serentak dan
intraktif.