Kembara untuk Perkongsian

Selagi Masih Di Perjalanan

Showing posts with label ISLAM. Show all posts
Showing posts with label ISLAM. Show all posts

Sunday, December 9, 2012

SAKI BAKI AGAMA HANIF DALAM JAHILIYAH ARAB


SAKI BAKI AGAMA HANIF DALAM JAHILIYAH ARAB ( Fiqh Sirah )
Perkara penting yang mesti dipelajari sebelum memasuki pembahasan Sirah mengenai kefahaman mengenai pengajaran Sirah itu sendiri, muqaddimah ini membawa kita menoleh kebelakang kepada satu kenyataan yang dulunya sering menjadi pertikaian mengenai agama ini kepada mereka yang melihat dan jauh yang semestinya kabur, lalu mereka tuduh dengan berbagai tuduhan palsu melalui agak dan sangka yang palsu.

Saturday, November 10, 2012

Kebersihan diri kesucian hati


Kebersihan diri kesucian hati

ISLAM adalah agama yang sangat mementingkan kebersihan dan kecantikan. Bahkan di sisi Islam orang yang menjaga kebersihan itu adalah mereka yang mempunyai iman yang tinggi. Umat Islam perlu menjaga ketrampilan dan penampilan diri agar sentiasa kelihatan anggun dan hebat selari dengan garis panduan yang telah ditetapkan dalam al-Quran, as-Sunnah dan ijtihad para ulama yang muktabar. Nabi Muhammad SAW adalah contoh yang terbaik untuk kita jadikan ikutan dalam menekankan aspek kebersihan dan kesucian, khususnya berkaitan penampilan diri dan berpakaian.
Sekiranya kita meneliti hadis-hadis berkaitan dengan pakaian Rasulullah SAW, kita akan mendapati bahawa baginda amat suka memakai pakaian yang berwarna putih. Warna putih menampakkan kebersihan dan kesucian, walaupun baginda tidak melarang untuk memakai pakaian berwarna lain.
Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Hendaklah kalian mengenakan pakaian yang berwarna putih. Orang-orang yang masih hidup antara kalian hendaklah mengenakan pakaian berwarna putih. Dan orang-orang yang telah meninggal dunia, hendaklah dikafankan dengan kain yang berwarna putih. Sesungguhnya, pakaian yang berwarna putih itu merupakan bahagian pakaian yang paling baik." (riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad)
Pakaian baginda bukan sahaja amat bersih malah sangat kemas dan wangi. Walaupun mempunyai pakaian yang terhad dan sederhana harganya, ia tidak langsung menjadi alasan untuk baginda memakai pakaian yang kotor dan tidak kemas.
Baginda amat menjaga tubuh badan Baginda agar sentiasa dalam keadaan sihat dan bertenaga. Paling penting, orang-orang yang berada di sekeliling merasa selesa bersama baginda.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Jika tidak menyusahkan ke atas umatku, aku ingin menyuruh mereka bersugi setiap kali mereka hendak melakukan solat. (riwayat Muslim)
Anas ra pula meriwayatkan: Aku tidak pernah menghidu wangian anbar, kasturi dan apa jua wangian yang lebih wangi daripada bau Rasulullah SAW. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Demikianlah beberapa kaedah menjaga penampilan diri yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.
Di samping kebersihan pakaian dan imej luaran ini, Islam juga amat mementingkan kebersihan dan kesucian hati. Hal ini kerana individu Muslim yang berjaya menyucikan hatinya, pasti akan memelihara zahir dan batinnya daripada melanggar perintah Allah SWT.
Peranan hati sangat penting dalam kehidupan manusia, khususnya dalam menentukan sikap dan perilaku. Nabi Muhammad SAW bersabda: Sesungguhnya di dalam diri manusia itu ada seketul daging. Apabila daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota. Dan apabila daging itu rosak, maka rosaklah seluruh anggota, ketahuilah itulah hati. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Individu yang bersih hatinya, akan menjaga tutur katanya agar tidak mengguris perasaan orang lain. Apa sahaja yang diungkapkan melalui lidahnya akan menggembirakan hati orang lain dan menambahkan manfaat dalam kehidupan dunia dan akhirat. Orang yang bersih hatinya akan berfikir sebelum berkata-kata. Dia juga akan menjaga hatinya daripada perasaan-perasaan keji seperti bongkak, iri hati, dendam dan sebagainya.
Dia juga akan merasa senang dengan kejayaan orang lain di samping meningkatkan prestasi diri agar beroleh kejayaan yang sama.
Di samping itu, dia akan merasa susah dengan kesusahan yang dialami oleh orang lain dan berusaha untuk membantu menyelesaikan masalahnya, bukan memberatkan lagi bebanan tersebut.
l WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN adalah daripada Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sunday, October 14, 2012

ZAKAT PENDAPATAN

Ada perbahasan dalam kalangan para ulama tentang kewajipan kepada zakat pendapatan memandangkan kitab-kitab fikah ( fiqah ) tidak menyentuh tentang zakat pendapatan melainkan hanya zakat binatang ternakan,emas,pertanian,hasil perniagaan dan zakat fitrah.

Wahai orang-orang yang beriman nafkahkanlah ( di jalan Allah ) sebahagian daripada hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. ( Al-Baqarah 2:267 )

Para imam tiga mazhab , yakni mazhab Syafi`i,Maliki dan Hambali berpendapat tidak wajib zakat pada selain lima perkara yang disentuh dalam perenggan yang terdahulu. Ayat daripada surah al-Baqarah ini pula diterjemahkan sebagai nafkah umum yang termasuk dalam sedekah sunat.

Manakala Imam Abu Hanifah pula mentafsirkan ayat di atas menurut zahir keumuman ayat. Beliau mengatakan wajib zakat pada setiap apa yang tumbuh di bumi sehingga hijau tanpa mengaitkan dengan jenis tanaman yang disebutkan di dalam hadis. Begitu juga , beliau mewajibkan zakat pada setiap apa yang diusahakan oleh manusia daripada pekerjaan-pekerjaan yang halal.

Oleh itu ( menurut imam Abu Hanifah ) , wajib zakat pada pemilikan yang memberi pulangan sama ada bangunan, kereta, gaji dan sewa.

Daripada dalil inilah setiap penghasilan yang diterima seseorang wajib dizakatkan dan ia termasuk upah , gaji, sewa, royalti dan sebagainya.

Cara Mengira Zakat Pendapatan

Terdapat beberapa laman web yang menyediakan kalkulator untuk individu membuat pengiraan jumlah zakat yang perlu dikeluarkan. Ada tiga cara untuk mengira zakat pendapatan :


1. Jumlah dikira atas pendapatan tahunan kasar didarabkan dengan 2.5% untuk mendapatkan zakat tahunan anda.

2. Cara pengiraan mengikut perbelanjaan yang dibenarkan adalah :

Pendapatan kasar ( setahun )
TOLAK
Perbelanjaan yang dibenarkan ( setahun ) :
- Diri ( RM 9000 )
- Isteri ( RM 3000 )
- Anak ( RM 1000 ) seorang.
- Pembiayaan ibu bapa ( RM 4000 ) setahun.
- Caruman KWSP ( 11% setahun )
- Caruman kepada organisasi yang membayar zakat.
JUMLAH TOLAKAN 
NISAB ADALAH RM 10300

Setelah ditolak perbelanjaan daripada pendapatan kasar dan jika jumlahnya melebihi jumlah nisab, zakat dikenakan dengan kadar 2.5% atas hasil jumlah itu. Jika ingin membuat gaji bulanan , jumlah ini dibahagikan dengan 12.


3. Jumlah pendapatan tahunan ditolak perbelanjaan sebenar ke atas tanggungan yang ada dan didarabkan dengan 2.5% untuk mendapatkan zakat pendapatan tahunan.

Pilihlah cara mana untuk anda aplikasikan ke atas pendapatan anda demi untuk menunaikan rukun Islam ke empat ini. Semoga pembersihan harta ini mendapat keredhaan Allah S.W.T

Rukun Islam - Zakat

Contoh yang cuba dikongsi : ( selebihnya rujuk pejabat zakat masing-masing yer )

Katakan gaji tahunan anda RM 36 000 dan perbelanjaan tahunan anda adalah :

- Diri RM 9000
- Isteri RM 3000
- Anak ( 4 orang ) RM 4000
- KWSP RM 4000
Jumlah perbelanjaan : RM 23000

Hasil pendapatan tahunan ditolak perbelanjaan yang dibenarkan adalah :

RM 36000 - RM 23000 = RM 13000
Zakat tahunan : RM 13000 x 2.5% = RM 325

Cubalah ikhtiar untuk menunaikannya. Mungkin anda sudah ada pengeluaran daripada tabungan KWSP , gunalah sebahagian daripada tabungan itu untuk melangsaikan hutang kita kepada Allah S.W.T

Bagi yang muda dan baru memulai alam pekerjaan , pastikan anda membuat potongan gaji untuk menunaikan zakat pendapatan supaya tidak ada ruang untuk anda lupa menunaikannya. Zakat adalah rukun Islam.