Kembara untuk Perkongsian

Selagi Masih Di Perjalanan

Showing posts with label stress. Show all posts
Showing posts with label stress. Show all posts

Sunday, November 11, 2012

Nasib Seorang Guru


Gan (1998) telah membuat kajian tentang sebab-sebab berlakunya stres di kalangan guru sekolah menengah dan mendapati punca utamanya ialah berkaitan dengan pelajar. Kyriacou (1995) merumuskan 7 kategori punca stres guru yang utama ialah pelajar yang tiada motivasi dan mempunyai sikap negatif terhadap pelajaran, pelajar yang engkar dan masalah disiplin, perubahan mendadak akibat desakan kurikulum dan organisasi, suasanan kerja yang tidak memberangsangkan termasuk prospek kerjaya, kekurangan masa, konflik dengan rakan sejawat dan perasaan kurang dihargai oleh masyarakat.

Kuehn (1993) dalam kajiannya mendapati faktor-faktor penyebab stres di kalangan guru ialah kekurangan masa untuk merubah pelajar yang bermasalah dan tidak dapat membuat keputusan yang berkaitan dengan mereka. Jarnagin (1997) dalam kajiannya pula mendapati para guru sering menghadapi masalah dengan kertas kerja yang banyak, red tape, kecewa dengan ibu bapa dan masyarakat, mereka merasakan diri mereka tidak dihargai, faktor gaji yang rendah daan tertekan apabila dinilai ke atas perkara-perkara yang tidak dapat dikawal. Gold dan Roth (1993) menggambarkan status profesion perguruan masa kini dianggap mempunyai tiga keadaan negatif iaitu keadaan yang tekanan, moral guru yang rendah dan perletakan jawatan ( mungkin tidak berlaku dalam kegawatan sekarang).

Menurut Muhammad (1995), kajian yang dibuat oleh Kongres Kesatuan Guru-Guru Dalam Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (KONGRES) menunjukkan bahawa guru-guru mengeluh terhadap kerja-kerja persediaan guru seperti menyedikan perancangan tahunan, penggal, mingguan dan harian. Datuk Abang Johari Abang Haji Openg, Menteri Pembangunan Industri di Sarawak juga selaku menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pendidikan telah menjelaskan sebab-sebab 75 orang guru di Sarawak telah meninggalkan profesion perguruan ( semenjak 1993 hingga Mei 1996). Antara alasan mereka ialah masalah peribadi, tawaran yang lebih baik, tidak mahu berjauhan dengan keluarga, persekitaran kerja yang tidak sesuai dan beban tugas yang berat ( Borneo Post, 1996).

Seterusnya, Junainah (1995) melalui kajiannya terhadap tekanan kerja guru beberapa buah sekolah di Kuala Lumpur menunjukkan bahawa perkara-perkara yang berkaitan dengan pentadbiran adalah menjadi faktor utama wujudnya tekanan kerja di kalangan guru sekolah. Miller ( 1976 ) menyatakan bahawa tekanan kerja guru wujud disebabkan oleh kegagalan penyelarasan di antara profesion mengajar, hubungan keluarga, rasa rendah diri, sikap, personaliti, masalah persekitaran, kesihatan fizikal, masalah kakitangan dan pentadbiran sekolah. Selain itu tuntutan menjalankan tugas dengan berkesan dan cemerlang juga merupakan suatu keadaan yang boleh mewujudkan stres di kalangan guru. Oleh itu, dapatan kajian-kajian ini telah membuktikan sememangnya masalah stres wujud dalam profesion perguruan dan masalah ini perlu diberi perhatian yang sewajarnya kerana tanggungjawab dan peranan guru penting dalam pendidikan kerana mereka menjadi tenaga penggerak utama dalam organisasi sekolah.