Kembara untuk Perkongsian

Selagi Masih Di Perjalanan

Showing posts with label komputer. Show all posts
Showing posts with label komputer. Show all posts

Thursday, December 13, 2012

Komputer dan Pendidikan


                    Pendidikan Komputer di Malaysia

Mengikut perkembangan komputer tempatan, kita dapat merasakan ledakannya yang drastik. Komputer kini telah menjadi sebahagian daripada keperluan dan mempengaruhi kehidupan seharian kita. Sebenarnya, komputer telah diperkenalkan kepada masyarakat dunia sejak beberapa abad lalu. Di negara kita, komputer mula digunakan pada tahun 1965 apabila Lembaga Letrik Negara menggunakan komputer untuk memproses gaji kakitangan dan juga akaun syarikat. Tetapi ia tidak disambut baik pada ketika itu kerana kos komputer yang tinggi dan kekurangan tenaga mahir dan berpengalaman dalam bidang komputer.

Kini, atas kesedaran masyarakat tentang kepentingan komputer terhadap pembangunan negara, kita dapat melihat perubahan positif yang agak ketara. Komputer digunakan oleh masyarakat mengikut keperluan masing-masing, bukan sahaja digunakan oleh agensi kerajaan dan swasta tetapi juga orang awam. Malah Malaysia sekarang muncul sebagai pengguna komputer keempat terbesar di Asia.

Penggunaan komputer dalam sistem persekolahan di Malaysia bermula secara informal tanpa sokongan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia. Penggunaan komputer di sekolah-sekolah swasta bermula sejak 1980an bila kursus komputer diperkenalkan. Sekolah swasta mula memperkenalkan kelab komputer di dalam aktiviti ko-kurikulum mereka. (Shahdan,1993). Pada tahun 1981, Sekolah Menengah La Selle, Petaling Jaya merupakan sekolah pertama yang menubuhkan kelab komputer dan memperkenalkan pengajaran Literasi Komputer kepada pelajar yang menjadi ahli kelab. Penubuhan kelab-kelab komputer dalam tahun 1980 an merupakan detik permulaan pendidikan komputer di Malaysia. Jumlah kelab ini meningkat sehingga 800 buah iaitu hampir separuh daripada bilangan sekolah menengah pada tahun 1990. Pada waktu tersebut kebanyakan kelab komputer di sekolah-sekolah disokong dan dibiayai oleh persatuan ibu bapa dan guru-guru, (Zoraini, 1998). Melalui kajian oleh Shahul Hamid (1989) didapati kebanyakan kelab komputer di sekolah-sekolah tidak begitu aktif kerana 80.3 % kelab komputer menjalankan aktiviti sekali seminggu dan 19.7 % menjalankan aktiviti dua minggu sekali. Semua kegiatan kelab komputer dijalankan diluar waktu persekolahan kerana ia dianggap sebagai sebahagian daripada aktiviti ko-kurikulum.

Minat terhadap komputer merosot di kalangan ahli-ahli kelab komputer selepas beberapa ketika kerana mereka diajar tentang bahasa pengaturcaraan iaitu BASIC. Collis (1987), berpendapat bahawa pengaturcaraan kurang relevan dengan keperluan-keperluan yang berkaitan dengan ko-kurikulum atau perkembangan kemahiran menyelesaikan masalah. Selain daripada bahasa pengaturcaraan, faktor-faktor lain yang menyebabkan kurangnya minat di kalangan pelajar ialah yuran bulanan yang tidak setimpal dengan faedah yang diperolehi, kemahiran yang diterima tidak relevan dengan keperluan pelajar, kekurangan guru yang berkemahiran dan tempoh masa pelajar-pelajar dibenarkan menggunakan komputer adalah terhad.

Pengenalan komputer ke sekolah-sekolah secara formal bermula dengan Projek Rintis Literasi Komputer ( Computer Literacy Pilot Project- LPP) pada bulan April 1986. Sebanyak 20 sekolah di Semenanjung, Sabah dan Sarawak menerima 5 set komputer peribadi, satu pencetak dan perisian-perisian aplikasi. Pendidikan komputer diperkenalkan kepada pelajar-pelajar melalui kursus-kursus ' Pengenalan Kepada Komputer ' (Zoraini, 1991). Selepas setahun projek ini terpaksa dihentikan kerana kurang peruntukan dan sukatan pelajarannya bertindih-tindih dengan aktiviti-aktiviti kelab komputer yang ada di sekolah. 


           Penggunaan Bahan Multimedia (komputer dan internet) dalam Sistem Pendidikan
Walaupun penggunaan komputer kini meluas ke pelbagai bidang dan sektor
masyarakat  seperti perindustrian, penyelidikan, perdagangan, hiburan, pengangkutan, komunikasi dan sektor awam namun tumpuan perlu diberikan kepada bidang pendidikan. Ini adalah kerana teknologi komputer merupakan realiti masa kini dan ia akan menjadi arah yang dominan pada masa akan datang (Karger, 1987). Perkembangan ini jelas dalam kehidupan seharian kita dimana semakin banyak kegiatan rutin melibatkan komputer.

            Secara amnya, terdapat tiga sebab utama komputer digunakan dalam pendidikan iaitu (Media Comic, 1992) :
a.       Perkembangan teknologi baru telah menawarkan satu teknologi maklumat yang berkuasa, bersepadu serta berfungsi kerana kaedah ini memudahkan penyimpanan dan penyampaian maklumat kepada para pendidik dan pelajar.
b.      Komputer berperanan sebagai alat berkaitan dengan maklumat dan pengetahuan.
c.       Para pendidik dan pelajar memerlukan maklumat dan pengetahuan sebagai kunci kejayaan.

Mengikut pendapat Taylor (1980), peranan komputer dalam alat pendidikan terbahagi kepada tiga iaitu tutor, tool dan tutee. Sebagai tutor, komputer berperanan sebagai pengajar melalui pendekatan pengajaran berbantukan komputer. Sebagai tool, komputer menjadi alat untuk memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran seperti konteks pengajaran berintegrasikan komputer. Sebagai tutee pula, komputer berperanan sebagai alat yang diajar.

Bersesuaian dengan pendapat Taylor, Nuruddin Namin (1978) dalam kajiannya mengenai ' The Development of Educational Media Service in Malaysia 1957, 1972' , mendapati bahawa media bukan lagi di anggap sebagai alat dan bahan bantuan mengajar tetapi harus menjadi komponen terpenting dalam kurikulum dan pengajaran dan pembelajaran. Atas dasar inilah masyarakat mendesak agar anak-anak mereka dilibatkan secara langsung dengan teknologi ini. Menurut Lockheed (1985) warganegara yang kurang terdedah kepada komputer akan menghadapi tiga kekurangan iaitu :
a.       Tertinggal di dalam masyarakat yang semakin maju.
b.      Kurang kemahiran-kemahiran kognitif yang melibatkan komputer.
c.       Kurang sedar bagaimana komputer mempengaruhi masyarakat.

Sebuah artikel dari internet menjelaskan bahawa penggunaan komputer memberi kesan yang besar dan bermakna terhadap kualiti pembelajaran iaitu (Sejarah dan Perkembangan Komputer, 1999) :
a.       Memudahkan penghasilan bahan-bahan pengajaran secara lebih efisien.
b.      Membenarkan pendidik menyediakan pendekatan pengajaran yang lebih efektif.
c.       Memudahkan penggunaan pelbagai teknik pengajaran dan pembelajaran seperti multimedia, simulasi dan aktiviti kumpulan menerusi aplikasi sistem rangkaiannya.
d.      Komputer adalah media ideal untuk pengajaran individu dan pemulihan.

Kehadiran komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran akan memberi nafas baru terhadap pendidikan dengan membawa kesegaran baru kepada tugas-tugas pengajaran dan pembelajaran. Oleh itu, para pendidik yang menggunakan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran mereka secara tidak langsung membantu kita mendefinisikan bentuk pendidikan negara masa depan demi untuk menghadapi wawasan 2020 negara seperti yang telah ditugaskan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri negara kita.

Projek pengenalan kepada komputer bermula hasil arahan daripada bekas Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Dr. Mahathir Mohammad pada bulan Oktober 1985 supaya Profesor Omar Abdul Rahman, Penasihat Sains di Jabatan Perdana Menteri menjalankan kajian terhadap kepentingan komputer dalam pendidikan di Kementerian Pendidikan Malaysia. Di antara perkara yang telah dikenalpasti dalam kajian tersebut ialah :
           
a.       Kelab komputer sekolah perlu memperkenalkan kesedaran komputer (komputer awareness) melalui kurikulum pendidikan secara formal atau tidak formal.
b.      Pengurusan di institusi-institusi pendidikan hendaklah menggunakan komputer.
c.       Pengajian Sains Komputer perlu dijadikan mata pelajaran elektif pada peringkat sekolah menengah atas.

Mc Keown (1986), menyatakan jika seseorang itu celik komputer, dia bukan sahaja hanya mempelajari tentang komputer tetapi juga tahu menggunakannya sebagai alat yang memudahkan kerja-kerja lain. Menurut beliau lagi, literasi komputer juga bermaksud mengetahui perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh komputer serta kebolehan seseorang itu mengarahkan komputer untuk berbuat sesuatu yang dikehendaki .

Literasi komputer perlu bagi setiap individu (Luehrmann 1983). Justeru itu, setiap sekolah di Malaysia perlu melengkapkan setiap pelajar serta guru-guru dengan kemahiran ini. Menurut Hunter (1992), seseorang yang tidak literat dalam teknologi dalam dunia ini merupakan orang yang tidak lengkap pendidikannya.

Lewat 1980-an, saiz komputer telah menjadi semakin kecil dan harganya semakin menurun. Ramai dikalangan para guru mula menaruh harapan bahawa suatu masa nanti komputer berpotensimenjadi satu alat bantu mengajar yang berkesan. Di kalangan pemerhati teknologi pula beranggapan bahawa suatu hari nanti, tugas para pendidik diambil alih oleh komputer. Walau apapun anggapan dan harapan yang dipertaruhkan, yang pasti kini komputer telah dikenalpasti sebagai satu alat yang berpotensi dalam membantu para pendidik dalam menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran.

Kini, dengan adanya komputer multimedia, masalah teknologi telah mula dapat diatasi, secara tidak langsung akan menambahkan minat para pendidik untuk menggunakan komputer di dalam bilik darjah. Jadi tidak hairanlah jika multimedia hangat diperkatakan pada masa ini. Ramai dalam bidang pendidikan dan komunikasi multimedia juga menceritakan perubahan bagaimana cara manusia berfikir, belajar dan memahami akan sesuatu perkara iaitu bermula daripada penggunaan teks dan grafik sahaja disusuli dengan kombinasi bunyi dan video sehingga lahirlah teknologi multimedia sepertimana yang berlaku pada hari ini.

Kemampuan mengaplikasikan kaedah pengajaran berkomputer dalam pendidikan amat penting kerana ianya menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih bermakna dan menyeronokkan kepada pelajar. Kewujudan pelbagai perisian yang bercorak interaktif dan simulasi akan menjadikan pelajar lebih aktif dan mengambil bahagian dalam aktiviti yang dilaksanakan. Hal yang sama boleh didapati daripada hasil penggunaan alat CD-ROM (Compact Disk-Read Only Memory) atau DVD-ROM (Digital Versatile Disk-Read Only Memory), yang mana kedua-duanya adalah merupakan sebahagian daripada sistem komputer. Melalui CD-ROM dan DVD-ROM, guru tidak perlu menyimpan banyak memori di dalam komputer dan maklumat di dalamnya boleh dicapai pada bila-bila masa. Di antara kesan positif penggunaan CD-ROM dan DVD-ROM ialah : peningkatan dalam tahap pencapaian maklumat pelajar, pencapaian pembelajaran yang lebih banyak dan pengajaran dan pembelajaran akan lebih berkesan dan diminati oleh pelajar.

Penggunaan CD-ROM dan DVD-ROM akan lebih bermakna jika komputer tersebut dilengkapkan dengan fungsi CDRW, DVDRW dan DVD/CDRW Combo yang mana melalui peralatan ini akan membantu pengguna komputer untuk menyimpan apa-apa sahaja bahan atau data dalam bentuk yang banyak dan selamat. Petikan dari Majalah PC halaman 71, bilangan : 104 Ogos 2005, menyatakan biarpun saiznya yang kecil, satu CD-R (CD-Recordable) boleh memiliki setoran sebanyak 650 hingga 700 MB (Megabaytes) sementara saru cakera DVD-R pula mempunyai muatan 4.7 GB atau lebih. Kedua-dua meda CD-R dan DVD-R kini juga telah dikeluarkan dalam dua format pilihan samada yang boleh ditulis sekaligus atau yang boleh ditulis berkali-kali.   

Selain daripada kemidahan CD-ROM dan DVD-ROM, komputer yang dilengkapi dengan kemudahan modem yang berbentuk talian ataupun wireless pula akan memberi kemudahan kepada penggunanya untuk melayari internet ataupun WWW (World Wide Web) bagi mencapai mana-mana maklumat yang dikehendaki atau dicari. Internet bermaksud International Network of Networks. Ia merupakan satu koleksi rangkaian komputer sedunia yang boleh diakses dan digunakan oleh semua golongan manusia. Rangkaian sejagat ini menghubungkan berjuta-juta komputer di pelbagai negara di seluruh dunia, (Yusup dan Saripah, 1999).

Komputer ini yang terdiri daripada komputer peribadi hinggalah ke komputer kerangkan utama menggunakan satu set aturan atau piawai pemindahan data yang dikenali sebagai protokol kawalan transmisi dan protokol internet (TCP/IP) untuk menghantar dan menerima maklumat. Komunikasi ini berlaku dalam rangkaian TCP/IP melalui get laluan itu iaitu penghala yang menterjemahkan bahasa komunikasi buku TCP/IP kepada bahasa komunikasi TCP/IP dan sebaliknya, (Zainuddin, 2001). Rangkaian-rangkaian ini  biasanya disambungkan antara satu sama lain menggunakan talian telefon, kabel dan satelit. Dengan ini, pengguna-pengguna komputer dapat bertukar maklumat dengan pantas antara satu sama lain walaupun berada di sudut dunia yang berlainan (Khan,1997). Internet telah menjadi satu infrastruktur global yang utama bagi bidang pendidikan,penyelidikan, pembelajaran, profesional, perkhidmatan awam dan perniagaan (Fong Hokeong,1987).

Menurut Ismail Zain (2002), pengajaran berasaskan (Web Base Instruction) adalah merupakan satu perkembangan baru dalam pendidikan hasil daripada ledakan teknologi maklumat dan komunikasi. Ia merujuk kepada penggunaan teknologi internet dalam membuat penyelesaian mengakses maklumat ke arah mempertingkatkan pengetahuan dan prestasi. Melalui E-pembelajaran ini akan dapat membantu satu senario pembelajaran lebih efisien daripada pelbagai aspek seperti keluasan penggunaan, kos efektif, kandungan terkini, perkongsian maklumat, penyebaran serentak dan intraktif.