Kembara untuk Perkongsian

Selagi Masih Di Perjalanan

Showing posts with label berdaulat. Show all posts
Showing posts with label berdaulat. Show all posts

Tuesday, September 11, 2012

Bersatu

Kenapa ‘Melayu Sepakat Islam Berdaulat’?

“Islam Berdaulat” merujuk kepada kedudukan Islam sebagai yang tertinggi di segi pemerintahan, pengaruh dan pembuat keputusan. Saya melihat di dalam kitab-kitab fekah, kedudukan Islam yang tertinggi sering merujuk kepada firman Allah swt bermaksud, “Dan Allah sekali-kali tidak akan menjadikan jalan untuk orang-orang kafir di atas orang-orang beriman”(An-Nisak: 141). Dari nas yang sama para ulamak tidak membenarkan hakim kafir mengadili orang Islam di kamar mahkamah. Sebahagian ulamak mengkhususkan larangan tersebut kepada perbicaraan yang berkait dengan hukuman mati. Dari nas yang sama, para ulamak menegah wanita Islam dikahwini oleh lelaki dari Ahlul Kitab, sedang Syarak membenarkan sebaliknya.

Oleh itu apabila kita mengumandangkan slogan Islam Berdaulat ia adalah suatu matlamat murni yang sememangnya dianjurkan oleh Syarak melalui berbagai nas Al-Quran dan Al-Hadis serta ditunjukkan Seerah Perjuangan Rasulullah saw serta jihad dan futuhaat (pembukaan negara-negara baru) yang diperjuangkan oleh para Sahabat selepas ketiadaan Baginda saw dan ramai mereka yang syahid di jalanNya.

Batu penghalang utama dari kesepakatan dalam kepentingan-kepentingan bersama dalam negara adalah pengaruh Kuasa Asing yang memaksa agendanya melalui parti-parti yang berbagai ke dalam sesebuah negara lemah. Tanpa pengaruh asing, kepentingan umat dan negara sendiri dimaklumi oleh kesemua pihak walaupun mereka dari badan-badan yang berbagai. Kepentingan agama, bangsa, tanahair, ekonomi, budaya, ilmu pengetahuan, kesihatan sebenarnya tidak banyak berbeza. Apa yang Kuasa Barat dan Timur paksakan adalah tidak berlakunya perlaksanaan sepenuhnya Syariat Islam yang merupakan rahsia kekuatan dan tamaddun umat Islam itu sendiri.

Dalam banyak perkara, matlamat tidak boleh dicapai melalui sebelah pihak tanpa kesepakatan pihak yang lain. Samada ikhlas, lalu kerjasama akhirnya menjayakan cita-cita untuk mencapai matlamat, walaupun secara bergilir. Atau tidak ikhlas, lalu kerjasama yang diharapkan memberi keuntungan sebelah pihak dengan memijak pihak yang lain. “Dan orang-orang beriman, lelaki dan wanita, mereka menolong antara satu sama lain” (Al-Quran) . “Dan orang-orang kafir, mereka membantu antara satu sama lain. Sekiranya kamu tidak berbuat sedemikian, berlaku huru-hara di muka bumi dan kerosakan yang besar” (Al-Quran). Perlaksanaan sepenuhnya Syariat Islam di Malaysia boleh dilaksanakan melalui kesepakatan parti-parti utama umat Islam di Malaysia. Tanpa kesepakatan tersebut, setiap pihak terpaksa meminta kerjasama dari parti-parti kafir yang rata-rata menolak perlaksanaan sepenuhnya Syariat Islam di Semenanjung Tanah Melayu seperti yang pernah dilaksanakan sebelum penjajahan Tentera Salib di Rantau Melayu. Dengan ini, parti-parti kafir adalah di antara penerus agenda Tentera Salib di era selepas Kemerdekaan pada hari ini.

“Melayu Sepakat”, ia bererti umat Melayu yang bersepakat dan bermuafakat dalam perkara-perkara yang berkait dengan kepentingan bersama, apatah lagi yang berkait dengan mendaulatkan Islam di tanahair. Ia bertitik tolak dari firman Allah swt bermaksud, “Bertolong-tolonglah kamu dalam kebajikan dan taqwa. Jangan kamu bertolong-tolong dalam dosa dan permusuhan” (Al-Maidah). Lawan kepada “Bersepakat” adalah bertelingkah yang membawa kepada hilangnya kekuatan. FirmanNya bermaksud,“Dan jangan kamu bertelingkah, nanti kamu rosak dan hilang kekuatan kamu. Bersabarlah. Sesungguhnya Allah bersama orang-orang sabar” (Al-Anfaal).

Sebenarnya, kesatuan atau kesepakatan dalam perkara kebaikan adalah satu nilai positif yang universal, samada di kalangan orang-orang Islam mahupun orang-orang kafir. Di kalangan umat Islam ia adalah jelas. Adapun di kalangan orang kafir, ia juga jelas disebut di dalam Hadis Rasulullah saw tentang Half Fudhul yang berlaku di Mekah sebelum perutusan Rasulullah saw di mana kaum kafir Quraisy bersepakat untuk tidak membiarkan, bahkan membantu orang yang dizalimi di Mekah, sekaligus mengubah pepatah mereka yang masyhur turun temurun “Unsur akhaka dzaaliman au mazluman” (Menangkan saudara / puak kamu samada dia zalim atau dizalimi). Kalau begitu kesepakatan umat Melayu dalam mendaulatkan Islam adalah sangat mulia, apatah lagi mereka sendiri rumpun yang beragama Islam dan telah mempertahankan Aqidah ini berhadapan dengan Tentera Salib selama 6 kurun (dari kurun ke-15 hingga di zaman kemerdekaan di kurun ke-20).

Berkuasa tidak semestinya berdaulat. Ramai pemimpin-pemimpin Arab berkuasa terhadap rakyatnya tetapi mereka dan negara tidak berdaulat kerana terpaksa tunduk kepada agenda asing. Ketundukan ini akan terus berterusan sehingga umat bersatu dan mampu menunjukkan mereka boleh memaksa agenda dan kepentingan mereka sendiri.

Tiada guna kekuasaan tanpa kedaulatan. Majlis Syura Ikhwan Muslimin memperakui dan mewartakan keputusan Maktab Irsyad (JKP) untuk tidak bertanding jawatan Presiden Mesir dalam Pilihanraya Umum Mesir selepas Revolusi. Sebaliknya, walaupun dianggap dunia, kawan dan lawan, sebagai satu-satunya organisasi tunggal berpengaruh di Mesir selepas parti kerajaan diharamkan, Ikhwan mengumumkan akan bertanding hanya 40-50% kerusi Parlimen dan bakinya untuk memberi peluang dan mengajak semua parti, badan dan pihak di Mesir, Islam dan Kristian, untuk bersepakat dan berganding bahu membina kedaulatan negara dalam berdepan dengan ancaman dan pengaruh asing. Majlis Syura juga bertegas dan memecat bekas pimpinan Ikhwan, Dr Abdul Mun’im Abul Futuh, kerana engkar dan mengumumkan akan bertanding sebagai calon Presiden. Fasa ini adalah fasa membina Kesepakatan, bukan fasa merampas Kekuasaan.

Perkataan “Bersatu” mungkin dilihat ramai orang sebagai berada di bawah satu organisasi dan di bawah satu pimpinan dan AJK. Hal sedemikian jika boleh berlaku adalah satu yang terpuji dan ideal. Namun sebelum mencapai ke arahnya, “Kesepakatan” di antara perkumpulan, badan, organisasi dan individu di kalangan umat Islam adalah satu perkara praktikal yang boleh dicapai. Negara-negara Barat seperti Amerika, Britian, Perancis dan lain-lain berbeza di segi organisasi dan kepimpinan, bahkan budaya dan bahasa, adakalanya sengit dalam perbezaan yang menyentuh kepentingan masing-masing, namun mereka dalam banyak hal bersepakat dalam memusuhi Islam dan sebarang usaha dan pencapaian ke arah mendaulatkan Islam dalam mana-mana negara di dunia. Serangan, kepungan dan pembunuhan beramai-ramai Nngara-negara Barat terhadap umat Islam di Bosnia yang terletak di tengah-tengah benua Eropah sepatutnya menjadi iktibar sepanjang zaman.

Imam Hasan Al-Banna menyebut, “Banyak fikiran orang ramai berbeza-beza dalam 3 aspek ini iaitu Kesatuan Kaum, Kesatuan Arab dan Kesatuan Islam. Ada juga yang menambah satu lagi iaitu Kesatuan Timur (berbanding Kesatuan Umat Barat – pent). Kemudian banyak kata-kata dan idea yang membuat pertimbangan di antara kesatuan-kesatuan tersebut, boleh atau tidak ianya tercapai, sejauh mana manfaat atau mudharat darinya dan berpada dengan sebahagian dari kesatuan-kesatuan tersebut sahaja tanpa perlu kepada kesatuan yang lain. Kita tidak berkecuali dari prinsip dan kaedah yang telah kita letakkan sebagai asas kepada Fikrah kita, iaitu berjalan di atas petunjuk Islam, di bawah ajaran-ajarannya yang tinggi dan suci. Oleh itu apakah pendirian Islam mengenai aspek-aspek ini ?

Pulau Batu Putih, tanahair Islam jatuh ke tangan Singapura. Kehilangan sebahagian wilayah dari sesebuah negara menunjukkan kelemahan negara tersebut secara umumnya. Kelemahan sesebuah negara boleh diukur dengan kekukuhan dan kesatuan jiwa penduduk di dalam negara berkenaan. Begitu juga kekuatan Islam dan umatnya di dalam sesebuah negara diukur dengan kekuatan iman dan akidah, kekuatan kesatuan dan ukhuwwah kemudian kekuatan bantuan dan persenjataan.

Pengasas Singapura, Lee Kuan Yiew, berjaya memisahkan tanahair Islam Temasik dari tanah besar Malaya pada tahun 1965. Sejak itu lahir jasad asing Singapura di tengah-tengah Rantau Melayu Islam, seperti Israel di tengah-tengah Rantau Arab Islam.

Sesungguhnya Islam telah memfardhukan satu kefardhuan yang mesti dan tidak boleh lari darinya bahawa setiap insan bekerja untuk kebaikan negaranya, habis-habisan dalam menabur jasa untuknya dan menyumbang sebanyak kebaikan yang dia boleh untuk masyarakat di mana dia hidup di tengah-tengahnya. Dia mendahulukan mereka yang terhampir, kemudian yang terhampir selepas yang terhampir tadi, yang mempunyai hubungan silaturrahim dan jiran tetangga hinggakan Islam tidak mengharuskan wang dan harta zakat dipindahkan lebih jauh dari jarak musafir kecuali dalam keadaan dharurat. Ini adalah untuk memberi keutamaam kepada orang-orang yang terdekat.

Oleh itu setiap muslim difardhukan menjaga pintu kubu dari arahnya masing-masing, memberi khidmat kepada tanahair di mana dia dibesarkan. Dari hakikat ini, seorang muslim itu adalah orang yang paling mendalam perasaan wataniah (cinta tanahair) dan lebih banyak sumbangannya kepada penduduk tempatannya. Ini adalah kerana ia suatu yang difardhukan oleh Tuhan sekalian alam. Ikhwan Muslimin adalah orang yang paling mengambil berat terhadap kebaikan untuk tanahairnya dan paling bermati-matian dalam menabur khidmat untuk kaumnya … ” (Hasan Al-Banna, Risalah Muktamar V).

Setelah berjaya mengumpulkan lebih 100,000 umat dalam Perhimpunan BERSIH, Ambiga dianugerah pingat kehormatan tertinggi Perancis, the Chevalier de Legion d’Honneur (Knight of the Legion of Honour) melalui Dutanya di Kuala Lumpur. Selepas zaman Penjajahan, Perancis diberi tugas oleh Barat untuk terus mencengkam negara-negara Islam di Afrika melalui kedutaan-kedutaannya dan bahasa Perancis yang tersebar luas di Afrika. Pada sesetengah pemerhati, BERSIH berkait dengan pilihanraya yang bersih. Pada sesetengah pemerhati, selepas BERSIH, jurang kesepakatan di antara pimpinan-pimpinan dan umat Islam sesama sendiri adalah semakin menjauh.

Artikel mengenai kesepakatan, kesatuan dan seumpamanya seperti ini lebih dapat diselami dan diinsafi oleh pembaca yang berjiwa dan bertaraf rakyat kerana mereka jauh dari terbelenggu oleh kepentingan peribadi, agenda kuasa asing atau agenda tersembunyi. Harapan terletak kepada mereka kerana bilangan yang ramai dan mereka pencorak pimpinan yang sepatutnya menjalankan aspirasi ahli dan pengikut yang memilih mereka. Adapun di pihak pimpinan-pimpinan, slogan mengajak kepada kesatuan atau kesepakatan seringkali diambil peluang oleh pihak yang lebih berkuasa dengan melabelkan golongan tanpa kuasa sebagai serpihan dan tidak bersatu. Ini dialami oleh sesiapa yang terlibat dalam aktiviti kampus di universiti, mahupun di alam dewasa dan bekerja di dalam masyarakat. Hakikatnya, artikel ini dan artikel-artikel seterusnya tidak akan memberi manfaat kepada selain dari mereka yang ikhlas mahukan kekuatan dan kedaulatan bagi umat Islam dalam menhadapi cabaran dan serangan musuh-musuhnya masakini dan di hari mendatang. Ia menuntut penggembelingan seluruh tenaga dan lapisan umat Islam tanpa prejudis terhadap mana-mana pihak, badan dan individu.

Demikian sedikit sinopsis ringkas mengenai kepentingan bahkan kefardhuan mendaulatkan agama dan kesepakatan umat. Persoalan adakah Kedaulatan Islam mesti melalui Kesepakatan Umat Melayu Islam atau tidak akan disentuh di dalam posting seterusnya.

Ustaz Abdul Halim Abdullah,
Ketua Biro Dakwah,
Ikatan Muslimin Malaysia
Blog: Ini Jalanku


http://www.ismaweb.net/v4/2011/11/kenapa-melayu-sepakat-islam-berdaulat/