Perhimpunan Arafah
gambaran Mahsyar
SEMALAM jutaan umat Islam seluruh dunia yang mengerjakan ibadat
haji memenuhi setiap inci dan ruang di padang Arafah.
Selain sebagai memenuhi rukun haji, perhimpunan di Arafah juga
adalah manifestasi kepada usaha taqarrub (mendekatkan) diri
kepada Allah, Pencipta Yang Maha Agung.
Pertemuan umat Islam yang mengenakan pakaian ihram yang sama warna
iaitu putih turut menzahirkan kesatuansebagai saudara seagama biarpun dibatasi
oleh bahasa dan warna kulit yang berlainan.
Segala hal keduniaan seperti pangkat, kedudukan dan jawatan tinggi
serta harta tidak lagi 'berguna'.
Sebaliknya, semua umat Islam merendah diri dan mengikhlaskan hati
masing-masing dengan niat yang satu iaitu mendapatkan pengampunan Allah Rabbul
Jalil.
Lebih daripada itu, perhimpunan setahun sekali ini adalah persis
bagaimana manusia akan dibangkitkan semula dan dihimpunkan di Padang Mahsyar
untuk dihitung amalan semasa hayat kita.
Ketua Pakar Rujuk Ibadat Haji 1433H, Datuk Seri Hassan Ahmad
berkata, semasa wukuf akan kelihatan lautan manusia ibarat laut yang tidak
bertepi.
Kata beliau, keadaan ketika itu agak membingungkan di mana manusia
masing-masing memikirkan untung nasib di hadapan Allah berdasarkan amalan
semasa hayat.
Menurutnya, apabila teringatkan hal itu, hati menjadi kecut dan
takut. Ini menjadikan orang itu sentiasa merendah diri.
"Harapan kita adalah dihimpun bersama golongan yang bahagia
dan mendapat rahmat ilahi.
"Bagi orang soleh yang hatinya murni dan sentiasa mentaati
Allah, mereka amat berharap serta yakin akan dihimpunkan bersama golongan yang
tunduk kepada Allah Yang Maha Esa," katanya dalam temu bual dengan Utusan
Malaysia di Hotel Abraj Jandiriyyah, Mekah, baru-baru ini.
Hassan yang juga Mufti Pulau Pinang menjelaskan, berhimpun dengan
memakai pakaian seragam (ihram) juga sebagai simbol Islam melihat manusia
sebagai sama dan tiada perbezaan darjat.
"Berpakaian seragam ini dapat menginsafi semua golongan baik
yang kaya, berpangkat atau tidak bahawa Islam tidak menilai seseorang
berdasarkan darjat dan kedudukan.
"Sebaliknya apa yang menjadi kayu ukur dalam Islam adalah
keimanan kita kepada Allah SWT. Secara tidak langsung ini dapat mengikis rasa
sombong dan takbur dalam diri setiap kita," jelas beliau.
Semua itu kata Hassan, adalah gambaran bagaimana keadaan manusia
apabila dibangkit dan dihimpunkan di Padang Mahsyar.
Katanya, ketika itu semuanya nafsi-nafsi (sendiri-sendiri) tidak
teringatkan orang lain kerana bimbangkan nasib masing-masing.
"Sebab itu, semasa di Arafah, kita dianjurkan banyak berdoa
memohon keampunan dan rahmat Allah," tambahnya.
Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sebaik-baik
doa adalah yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik ucapan adalah ucapan
Nabi-nabi sebelumku iaitu tiada tuhan yg berhak disembah melainkan Allah yang
Esa, tiada sekutu bagi-Nya, bagi-Nya kerajaan dan bagi-Nya kepujian dan Dia
berkuasa ke atas setiap sesuatu. (riwayat at Tirmizi)
Menurut Hassan lagi, semasa wukuf juga syaitan amat berasa
dukacita dan terhina melihatkan banyaknya rahmat dan pengampunan Allah kepada
hamba-hamba-Nya.
Ini dijelaskan menerusi hadis daripada Talhah bin Ubaidillah bin
Quraisy di mana Nabi SAW bersabda yang maksudnya: "Selain Perang
Badar, tidak ada hari lain yang mana syaitan dilihat amat hina, dukacita dan
marah iaitu pada Hari Arafah kerana melihatkan melimpah ruahnya rahmat yang
turun hari itu dan rahmat Allah yang mengampunkan dosa para hamba-Nya."
Semasa wukuf juga Allah berada paling hampir dengan hamba-Nya dan
berbangga atas kedatangan hamba-hamba-Nya yang datang dari pelbagai ceruk muka
bumi ini.
Ini dijelaskan melalui hadis daripada Ibnu Umar, Nabi SAW bersabda
yang bermaksud: "Wukuf yang kamu lakukan pada hari Arafah, sesungguhnya
Allah SWT turun ke langit dunia (paling bawah) dan berbangga-bangga dengan kamu
kepada malaikat dengan firman-Nya; "Hambaku datang dari segenap
pelosok yang jauh dalam keadaan tidak terurus dan berdebu-debu tubuh mereka
semata-mata mengharapkan syurga-Ku. Jika kamu datang dengan dosa sebanyak
bilangan pasir, titisan hujan atau buih di laut nescaya Aku hapuskan semuanya. Allah
SWT berfirman: "Keluarlah kamu dari Arafah dengan dosa yang telah
diampunkan daripada kamu dan bagi sesiapa yg kamu minta ampun utk mereka".
(riwayat al-Bazzar)
Hassan menambah, pada Hari Arafah juga, Allah meluaskan rahmat-Nya
dengan membebaskan lebih ramai manusia daripada seksaan api neraka.
Ini berdasarkan hadis daripada Aishah, Nabi Muhammad SAW bersabda
yang maksudnya: "Tidak ada hari yang Allah membebaskan hamba-Nya daripada
api neraka lebih ramai selain hari Arafah." Allah SWT hampir dengan
hamba-Nya dan berbangga dengan mereka kepada malaikat dengan berfirman: "Apa
yang mereka mahu". (riwayat Muslim)
© Utusan Melayu (M) Bhd