Bunuh teman wanita: Irawadi kekal ke tali gantung
PUTRAJAYA 10 Okt. - Bekas penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Irawadi Mohammad, kekal menjalani hukuman gantung atas kesalahan membunuh teman wanitanya, Norzi Ayu Md. Noor selepas rayuan akhirnya ditolak oleh Mahkamah Persekutuan hari ini.
Panel lima hakim yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebulat suara memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa tiada ketidakadilan berlaku sepanjang prosiding perbicaraan di Mahkamah Tinggi.
Sehubungan itu, keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 11 November 2009 yang mensabitkan Irawadi, 30, atas tuduhan membunuh Pegawai Penyelidik Perubatan di Institut Penyelidikan Malaysia (IMR) Kuala Lumpur, dikekalkan.
Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan Irawadi pada 20 Oktober tahun lalu turut berpendapat, hakim bicara ketiga betul sewaktu memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui tahap keraguan munasabah.
Lulusan Ekonomi itu disabitkan membunuh Norzi Ayu, 27, seorang lulusan biologi genetik UKM di rumah sewa mangsa di No 2-1-6 Blok ST12, Pangsapuri Sri Tanjung, Jalan 7/1D, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, dekat sini antara pukul 3.30 petang dan 5 petang, 26 Julai 2004.
Turut bersidang, Datuk Hashim Yusof, Tan Sri Suriyadi Halim Omar, Datuk Ahmad Maarop dan Datuk Seri Sulong Matjeraie.
Mahkamah sebelum itu mendengar penghujahan pihak pembelaan yang membangkitkan isu teknikal iaitu wujud kecacatan pada prosiding perbicaraan yang didengar oleh tiga hakim berlainan.
Peguam Hisyam Teh Poh Teik bersama-sama Imran Hadzalie Abdul Hamid yang mewakili Irawadi berhujah berlaku kecacatan pada prosiding perbicaraan dan anak guamnya tidak diberikan perbicaraan yang adil.
Hisyam menghujahkan, tiga hakim berlainan mendengar kes itu pada peringkat yang berbeza-beza iaitu kes pendakwaan, penghujahan pada akhir kes pendakwaan serta kes pembelaan manakala hakim bicara ketiga dalam keputusan pada akhir kes pembelaan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Bache menghujahkan, rayuan itu tiada merit manakala sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh mahkamah terdahulu adalah wajar.
Pendakwa raya menghujahkan, perayu tidak wajar mendakwa bahawa dia tidak diberikan perbicaraan yang adil kerana kes itu tidak melibatkan dokumen atau keterangan yang banyak berpandukan kepada satu saksi semata-mata.
Beliau turut menyatakan, kes itu bukannya melibatkan bukti keterangan yang penuh dengan ketidakpastian, percanggahan atau ketidaksamaan.
Ahmad menghujahkan, hakim bicara mampu membuat keputusan dengan mudah berdasarkan kepada penilaian penuh terhadap bukti keterangan dan rekod dalam kes itu.
Mahkamah Tinggi menolak pembelaan Irawadi yang mendakwa tidak berniat untuk membunuh mangsa setelah tertikam wanita itu secara tidak sengaja selepas terjatuh.
Mahkamah berpendapat, pengakuan Irawadi bahawa dia meletakkan motosikal di bangunan berasingan dari apartmen tempat tinggal Norzi Ayu serta tindakannya memecah masuk rumah mangsa dengan cara menggergaji mangga besi menunjukkan dia mempunyai motif.
![]() |
| Tali Gantung |
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20121011/ma_02/Bunuh-teman-wanita-Irawadi-kekal-ke-tali-gantung#ixzz28zac5dSd
© Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:
Post a Comment