Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-100 yang bersidang pada 4-6 Julai 2012 telah membincangkan mengenai Hukum Jual Beli Dan Pelaburan Emas Yang Dijalankan Oleh Syarikat Genneva Malaysia Sdn. Bhd. Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:
1.
Setelah
meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah
menegaskan bahawa transaksi jual beli dan pelaburan emas mestilah memenuhi
semua rukun jual beli yang digariskan oleh syarak. Sesuatu transaksi jualbeli
adalah dikira tidak sah sekiranya tidak memenuhi salah satu rukun jual beli.
Muzakarah turut menegaskan bahawa transaksi jual beli dan pelaburan emas juga
hendaklah bebas daripada unsur-unsur riba, perjudian, gharar yang berlebihan
dan kezaliman.
2.
Berdasarkan
laporan dan hasil siasatan Bank Negara Malaysia terhadap operasi jual beli dan
pelaburan emas oleh Syarikat Genneva Malaysia Sdn. Bhd., Muzakarah bersetuju
memutuskan bahawa transaksi jual beli dan pelaburan emas yang dilaksanakan oleh
Syarikat Genneva Malaysia Sdn. Bhd. tidak mematuhi sepenuhnya Parameter
Pelaburan Emas sepertimana yang telah diperakukan oleh Muzakarah Jawatankuasa
Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-96 pada 13
hingga 15 Oktober 2011.
3.
Oleh itu,
umat Islam dinasihatkan supaya tidak melibatkan diri dalam aktiviti atau
transaksi jual beli dan pelaburan emas yang dilaksanakan oleh mana-mana pihak
sama ada syarikat atau individu di dalam atau luar negara yang bertentangan
dengan prinsip-prinsip jual-beli emas seperti yang digariskan oleh syarak atau
undang-undang negara.

No comments:
Post a Comment